Showing posts with label sdsi. Show all posts
Showing posts with label sdsi. Show all posts

Friday, December 11, 2009

TPM Minta Pasaraya Besar Tidak Kenakan Syarat Terlalu Ketat Ke Atas Produk Tempatan


MELAKA, 11 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Jumaat meminta pasaraya besar di negara ini supaya tidak mengenakan syarat yang terlalu ketat, terutama sekali produk di bawah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI), bagi membolehkan produk pengusaha tempatan dijual melalui pasaraya berkenaan.

Katanya pasaraya besar sewajarnya memberi lebih ruang kepada produk tempatan, seperti dari SDSI, kerana mutu produk berkenaan semakin bertambah baik.

Sehubungan itu, katanya produk, yang telah memenuhi kriteria awal yang ditetapkan oleh sesebuah pasaraya besar, sepatutnya diberi laluan mudah.

"Saya harap pasaraya besar memberi pertimbangan saksama kepada pengeluar supaya tidak mengenakan bayaran yang tinggi untuk mempamerkan produk."

"Kalau mereka boleh kurangkan (bayaran sedemikian), maka lebih banyak produk tempatan (seperti dari SDSI) dapat dipamerkan untuk promosi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Showcase SDSI 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini.

Seramai 537 pemamer mengambil bahagian dalam pameran itu yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Muhyiddin berkata produk SDSI juga boleh dipamerkan sepanjang masa di premis tetap yang disediakan oleh kerajaan negeri seperti yang dilakukan oleh kerajaan Melaka yang menawarkan premis tetap di Kota Fesyen di sini.

Semasa berucap di majlis itu, Muhyiddin mahukan usahawan kecil dan sederhana supaya mengatur strategi perniagaan serta membuat penyelidikan dan pembangunan produk untuk menghasilkan keluaran baharu, sentiasa memahami kehendak pelanggan yang mempunyai pelbagai citarasa terhadap produk dan perkhidmatan berkualiti.

Katanya usahawan juga perlu memberi perhatian terhadap penjenamaan yang menjadi elemen penting dalam memastikan sesuatu produk dikenali dan dapat menembusi pasaran yang lebih luas.

"Walau pun sudah ramai usahawan dilahirkan melalui SDSI, kerajaan melalui pelbagai agensinya akan terus mengembangkan penyertaannya berikutan skop dan potensinya yang masih luas."

Beliau yang baru pulang dari lawatan kerja ke Jepun, juga mahukan pengusaha mencontohi peniaga dan usahawan kecil di Jepun yang berjaya menghasilkan produk bermutu tinggi dengan kaedah pemasaran yang baik.



-- BERNAMA

Showcase SDSI 2009

Showcase tahun ini diadakan di MITC Melaka dari 10 - 13 Disember 2009. Shekin Foods Enterprise telah dipilih untuk mewakili Daerah Johor Bahru dengan mempamerkan produk sejuk-beku seperti karipap, samosa, popia, donut, otak-otak, kasturi, getuk ubi, apam puteri ayu dsb.

Walau pun pameran telah bermula dan perasmian telah dilakukan, pihak kami masih tidak berpuashati dengan persediaan dan kelengkapan yang kami bawa. Kebanyakannya tidak menepati kehendak dan kesesuaian ruang yang disediakan. Ruang yang disediakan agak sempit dan dikongsi pula dengan pengusaha dari daerah lain, sehingga kami tidak dapat membakar otak-otak dan terpaksa dibawa pulang. Kami rasa terkilan kerana... tak sempurna rasanya produk dari Johor tanpa otak-otak... sebagaimana tak sempurna produk Terengganu tanpa keropok lekor...

Namun begitu, pihak kami amat berterima kasih kepada pihak Kerajaan Johor khususnya Pejabat Daerah Johor Bahru kerana telah memberi kepercayaan kepada pihak kami untuk mewakili daerah Johor Bahru pada kali ini. Jika diberi peluang lagi di masa akan datang kami akan cuba memberi dan menyediakan yang lebih baik lagi...

Kepada pengunjung yang membeli produk kami, terima kasih banyak-banyak kami ucapkan. Jangan sampai terkeliru produk mana yang dirasa dan produk mana yang dibeli... kerana produk sejuk-beku diletakkan sebelah menyebelah antara kami dari Daerah Johor Bahru dan pengusaha satu lagi dari Daerah Kota Tinggi. Bagaimana pun... rezeki masing-masing...

Kepada YAB TPM, kami amat berbsar hati dan jutaan terima kasih kami ucapkan kerana sudi menerima hadiah kami yang merupakan produk-produk keluaran kami...