Saturday, May 31, 2008

Kenaikan Harga Tidak Dapat Dielakkan

Susulan daripada kenaikan harga bahan mentah pengeluaran yang bertubi-tubi dan bertali-arus sejak dua tahun kebelakangan ini pihak kami tidak dapat mengelak lagi daripada menaikan harga jualan kuih-muih kami. Kenaikan antara 5% hingga 10% bergantung kepada kandungan kuantiti bahan yang mengalami kenaikan harga dalam sesuatu jenis kuih.

Harga tepung yang dulunya boleh dibeli dengan harga RM28.50 seguni (25 kg), kini berharga RM60.00 seguni untuk kegunaan industri. Jika untuk kegunaan domestik harganya RM34.50. Marjerin jenama Mariana yang dulu berharga RM30.00 ++ kini telah mencecah RM72.00 sekotak (18 kg).

Segala jenis tepung telah juga mengalami kenaikan harga seperti tepung beras, tepung ubi, tepung jagung dsb. Tepung beras umpamanya naik hampir 100% apabila meningkat kepada RM34.00 daripada harga asal RM17.50 sekotak (10 kg). Tepung ubi yang tiada kaitan dengan kenaikan harga beras atau gandum juga meningkat daripada RM18.00 sekotak (10 kg) kepada RM25.00.

Kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana dalam bidang makanan di negara kita, walaupun kita kadang-kadang berbangga dengan peningkatan jumlah pengeluaran dan jualan tapi sebenarnya apa yang kita usahakan lebih membantu peningkatan pasaran barangan import. Hampir kesemua bahan yang digunakan dalam perusakaan makanan IKS diimport. Cuba kita senaraikan, apa bahan tempatan yang digunakan. Hampir tiada.

Walaupun kita ke pasar segar setiap hari tapi yang dibeli adalah barang import seperti kentang, bawang, cili, gula, tepung dsb. Contohnya dalam perusahaan kami, hanya sejumlah kecil bahan tempatan yang digunakan seperti pisang ,ubi, kelapa dan sayur-sayuran. hanya sekitar 10% daripada kegunaan semua bahan mentah. Minyak masak dan marjerin, walaupun bahan tempatan tetapi harganya menekan perusahaan IKS kerana ditentukan mengikut indeks pasaran eksport. Bagaimana perusahaan IKS kita nak bersaing jika kebanyakkan bahan-bahan berasaskan import dan bahan tempatan pula berharga tinggi sama macam diimport.

Kami sedang cuba mengubah haluan kepada perusahaan yang berasaskan peratus kandungan bahan tempatan yang lebih tinggi. Ianya untuk membantu perkembangan industri pertanian tempatan dan juga kestabilan harga bahan berbanding harga bahan yang diimport.

Buat masa ini kenaikan harga tidak dapat dielakkan kerana hampir kesemua produk kami berasaskan bahan-bahan import. Pengeluaran kami berasaskan kepada permintaan pasaran dan senario semasa masih memihak kepada produk-produk kuih yang popular seperti karipap, samosa, apam, kasturi, roti parata, begedil dsb yang sedia diketahui menggunakan hampir 100% bahan-bahan import.