Saturday, August 22, 2009

Kementerian Kaji Struktur Semula Rangkaian Pengedaran Gula


SHAH ALAM, 22 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sedang mengkaji kemungkinan menstruktur semula rangkaian pengedaran gula di negeri-negeri bagi mengelakkan sebarang kelewatan dalam pembekalan komoditi itu kepada para pengedar, kata Timbalan Menteri Datuk Tan Lian Hoe.

Beliau berkata jarak jauh bagi pembekalan gula di antara negeri merupakan antara sebab kelewatan bekalan sampai kepada pengedar.

"Sebagai contoh, kami mendapati sesetengah pengedar dari kawasan utara sebuah negeri menghantar gula ke kawasan selatan dan dari selatan ke timur, dan jarak merupakan satu daripada faktor kelewatan bekalan sampai kepada pengedar berkenaan.

"Oleh itu, kementerian sedang mencari kaedah bagaimana untuk menstruktur semula rangkaian pengedaran gula di negeri tertentu supaya pengedar boleh menghantar bekalan kepada pengguna secara efektif," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat borong dekat sini Sabtu.

Tan berkata kementerian juga mengkaji untuk mengehadkan pengedaran gula kepada sesebuah negeri tanpa perlu mengedarkan komoditi itu ke negeri-negeri lain.

"Misalnya, di masa depan, pengedar di Selangor hanya perlu membekalkan gula di Selangor sahaja, tanpa perlu menghantarnya ke negeri-negeri lain," katanya dan menurutnya langkah itu juga akan dapat menjimatkan kos pengangkutan dan masa penghantaran.

Dalam perkembangan lain, Tan berkata kebanyakan farmasi dan kedai di seluruh negara mematuhi harga siling yang ditetapkan kerajaan bagi penutup mulut dan hidung, di mana orang ramai digalak menggunakannya bagi membendung penularan Influenza A (H1N1).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan yang penutup mulut dan hidung telah dijadikan barangan kawalan dan perlu dijual antara tujuh sen dan RM6 setiap satu berdasarkan kualiti produk itu.

-- BERNAMA

Wednesday, August 12, 2009

Gula Oh Gula .... Ke Mana Pergi Gula?


Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Biasanya kita ke hipermarket kerana dapat membeli belah segala jenis barang di bawah satu bumbung tetapi seorang rakan terpaksa menerima hakikat yang sebaliknya.

Dia mengeluh panjang berkongsi pengalamannya penghujung minggu lalu, seperti yang terpaksa dilalui pengguna lain di beberapa negeri termasuk Perlis, Kedah, Kelantan dan Sabah, iaitu menjadi pemburu gula.

Selepas dua pencarian, dia hampa dan pulang dengan tangan kosong. Dua pasar raya yang dikunjunginya tiada bekalan gula.

Seperti tidak cukup dengan jerebu dan wabak selesema babi (Influenza A HINI), rakyat negara ini kembali dihimpit isu ketiadaan bekalan gula seperti tahun-tahun sebelumnya.

Memandangkan masalah tiga serangkai ini mungkin berlarutan buat beberapa ketika, justeru, tindakan bijak dan pantas perlu dilaksanakan bagi membendung penularan serta impaknya.

Dalam berdepan dengan krisis bekalan gula ini, masyarakat pengguna tidak harus melakukan pembelian panik yang sudah tentunya akan hanya memburukkan keadaan!

Cuma, mungkin ramai yang diasak keanehan, isu gula habis dan tiada stok ini sering menjelma menjelang Ramadan dan musim perayaan khususnya Hari Raya.

KAUT KEUNTUNGAN

Andaian yang mungkin boleh dibuat masyarakat umum ialah ada pihak yang sengaja mencetuskan krisis bekalan gula, kalau bukan untuk meraih keuntungan singkat.

Sempadan negara juga bolos lagi dengan gula subsidi diseludup ke negara jiran juga untuk mengaut keuntungan.

Laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini memaparkan betapa mudahnya mendapat bekalan gula subsidi Malaysia di negara jiran yang bersempadan dengan Perlis sedangkan di negeri yang sememangnya pengeluar gula, bekalan bahan itu sukar diperoleh!

Menurut laporan dari Padang Besar itu, ada sindiket tertentu yang menyeludup gula pasir ke negara jiran menerusi laluan darat dan laut di sempadan Perlis-Thailand.

Mengapa kan tidak! Harga gula pasir di Thailand mencecah RM2.50 hingga RM2.90 sekilogram berbanding RM1.45 di pasaran negara ini. Harga gula pasir juga dilaporkan tinggi di Filipina, Indonesia dan Singapura berbanding Malaysia.

Malah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut dipetik media sebagai berkata kekurangan gula di pasaran sekarang bukan kerana bahan itu tidak ada tetapi ia diseludup keluar negara di samping pembelian panik pengguna.

ISU BERULANG

Andaian atau kenyataan, yang menjadi mangsa kemelut bekalan gula ini ialah masyarakat pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah.

"Saban tahun isu berkaitan barang keperluan asas seperti gula, tepung dan sebagainya berlaku. Pengguna sering berhadapan dengan masalah bekalan terutamanya apabila menjelang musim perayaan," kata Mohd Yusof Abdul Rahman, Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Bercakap kepada Bernama, beliau memberitahu bahawa krisis bekalan gula yang berulang ini mungkin kerana pihak yang terlibat dalam industri gula dikuasai oleh beberapa golongan tertentu.

"Kemungkinan wujud pakatan antara mereka dalam menentukan harga dan bekalan gula di pasaran tempatan. Begitu juga dengan rangkaian pemborongan yang dikuasai pihak tertentu.

"Selagi industri yang berkaitan keperluan asas seperti gula ini bersifat monopoli, keadaan ini akan terus berlaku," jelasnya kepada Bernama.

GULA SUBSIDI

Menurut Mohd Yusof, masalah bekalan gula yang sering berlaku membabitkan gula bersubsidi.

Gula bersubsidi sebenarnya, kata beliau, untuk keperluan pengguna biasa, bukannya peniaga termasuk peniaga kecil-kecilan seperti penjual kuih dan industri kecil dan sederhana (IKS).

Kerajaan, katanya, perlu membayar kepada pengeluar gula bagi membekalkan gula bersubsidi ini di pasaran.

Beliau berkata dalam bajet mini yang dibentang di Parlimen pada 10 Mac 2009, kerajaan memperuntuk sebanyak RM674 juta sebagai subsidi untuk bahan makanan harian seperti gula, roti dan tepung gandum.

Bagi memastikan peruntukan subsidi ini terkawal, kerajaan menetapkan kuota tertentu bagi pengeluaran gula bersubsidi dan menurut Mohd Yusof, dalam keadaan biasa, pengeluaran gula bersubsidi ialah 100,000 tan metrik sebulan.

Namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung peningkatan permintaan yang biasanya berlaku menjelang musim perayaan.

Justeru, katanya, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlu proaktif dengan perkembangan industri gula serta meningkatkan pengeluaran gula bersubsidi apabila perlu.

Untuk rekod, sebagai langkah menangani masalah kekurangan gula, Menteri yang bertanggungjawab mengarahkan pengilang gula menambah sebanyak 20,000 tan lagi gula sebulan.

Menurut Ismail Sabri, trend penggunaan gula pada musim perayaan meningkat daripada 3,500 tan kepada 4,000 tan sehari.

Empat pengeluar gula terbesar negara ialah CSR di Selangor, Kilang Gula Felda Perlis Sdn Bhd (KGFP), Kilang Gula Padang Terap, Kedah dan Malayan Sugar Manufacturing Co Bhd (MSM), Prai.

IKS DAN PENIAGA

Lazimnya juga, permintaan untuk gula pasir akan meningkat menjelang musim perayaan. Pada waktu inilah IKS serta peniaga kecil-kecilan memerlukan bekalan gula yang banyak untuk menampung pengeluaran produk masing-masing.

Memandangkan pengeluaran gula bersubsidi mempunyai kuota tertentu, sudah tentu keadaan ini akan mencetuskan ketidakseimbangan dan menyebabkan berlakunya kekurangan.

Mohd Yusof berkata bagi pembelian yang besar, IKS dan peniaga kecil mendapat bekalan terus gula daripada pemborong atau kilang dan harga yang perlu dibayar adalah tinggi berbanding gula bersubsidi.

"Maka tidak hairanlah jika ada pihak IKS atau peniaga kecil sering mendapatkan bekalan gula di kedai-kedai runcit atau tempat-tempat lain.

"Jika mereka membeli dalam jumlah yang banyak pada satu-satu masa, sudah tentu akan berlaku kekurangan bekalan memandangkan kuota pengeluaran gula bersubsidi adalah terhad," jelasnya.

Beliau turut memberitahu bahaw kemungkinan ada pemborong atau pembekal yang menjual gula bersubsidi terus kepada industri, pada harga industri atau kurang sedikit, bertujuan mengaut keuntungan.

Dalam hal itu, Mohd Yusof menggesa kerajaan meningkatkan kawalan pengeluaran dan pengedaran gula bagi memastikan gula bersubsidi dihantar ke pasaran runcit.

Langkah tegas dan konsisten juga perlu dibuat dalam membenteras penyeludupan gula ke luar negara khususnya negara jiran, Thailand, dan hendaknya juga tidak dibuat secara berkala.

Berita rampasan kira-kira 24 tan metrik gula pasir bernilai RM32,000 di sebuah gudang di Jejawi, dekat Kangar, Perlis baru-baru ini menunjukkan berlakunya kegiatan menyorok bekalan itu untuk diseludup ke luar negara.

Sebelum itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 8 tan gula yang dianggarkan bernilai RM17,600 dalam serbuan dekat Pengkalan Kubor, Kelantan.

Kedua-dua kes ini jelas menunjukkan wujud kegiatan menyeludup gula ke negara jiran yang perlu ditangani secara tegas sehingga tuntas.

Dalam masa yang sama, tindakan keras juga perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyorok atau melakukan apa jua penyelewengan yang menyebabkan gangguan dalam bekalan gula pasir ini.

CADANGAN FOMCA

Membuka industri pengeluaran atau pembekalan gula kepada lebih ramai pihak, bukannya dimonopoli oleh pihak tertentu, dilihat sebagai satu cara praktikal untuk menangani krisis bekalan gula.

Mohd Yusof turut berpendapat, perkara yang sama juga perlu dibuat terhadap pengimportan gula mentah (tebu).

Justeru beliau melihat positif kenyataan yang dibuat Ismail Sabri mengenai pembentangan Akta Persaingan Pengguna di Parlimen hujung tahun ini bagi membendung kegiatan monopoli.

Dengan penguatkuasaan Akta itu, pihak berkuasa dapat mengawal kegiatan monopoli terutama yang membabitkan barang keperluan harian oleh syarikat tertentu, sehingga membebankan orang ramai.

Ia juga memberi kuasa kepada kerajaan untuk membendung kegiatan kartel dan tindakan beberapa syarikat bergabung untuk menetapkan harga sesuatu produk di pasaran.

Dalam masa yang sama, Mohd Yusof turut mencadangkan agar satu mekanisme diwujudkan bagi mengawal penjualan gula bersubsidi untuk memastikan ia hanya dibeli pengguna biasa.

"Antaranya mengehadkan penjualan gula di kedai runcit kepada sejumlah tertentu seperti dua kilo seorang sehari.

"Bagi mereka yang ingin mendapatkan bekalan gula yang lebih banyak, mereka boleh mendapatkan bekalan di pasar raya besar, yang mendapat bekalan terus daripada pemborong atau pengeluar," cadang Mohd Yusof.

Satu lagi cadangan Fomca ialah supaya kerajaan mengkaji semula pemberian subsidi gula.

Menurut Mohd Yusof, pada masa ini, subsidi gula dinikmati oleh semua pengguna tanpa mengira kedudukan dan kemampuan kewangan mereka.

Subsidi, tegasnya, wajar diberi untuk menampung keperluan golongan tertentu sahaja seperti mereka yang berpendapatan rendah atau mempunyai tanggungan yang ramai, walaupun berpendapatan sederhana.

SEDARLAH PENGGUNA

Mohd Yusof juga menyarankan pengguna negara ini diberi kesedaran agar mengurangkan pengambilan gula sehari.

Katanya langkah itu dilihat amat perlu memandangkan rakyat Malaysia didapati mengambil gula secara berlebih-lebihan.

"Secara puratanya seorang individu mengambil 25 sudu teh atau 125 gram gula sehari. Ini bersamaan dengan 3.75 kilogram atau 750 sudu teh gula sebulan.

"Pengambilan gula yang berlebih-lebihan ini menyebabkan jumlah pesakit diabetes di Malaysia kini dianggarkan sekitar 3.6 juta orang," kata beliau, sambil menambah bahawa jumlah gula yang disarankan bagi setiap individu ialah 50 gram atau tidak melebihi 10 sudu teh sehari!

Sesungguhnya pasti kita tidak mahu menjadi seperti pepatah "Mati Semut Kerana Gula!"

-- BERNAMA