Saturday, August 22, 2009

Kementerian Kaji Struktur Semula Rangkaian Pengedaran Gula


SHAH ALAM, 22 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sedang mengkaji kemungkinan menstruktur semula rangkaian pengedaran gula di negeri-negeri bagi mengelakkan sebarang kelewatan dalam pembekalan komoditi itu kepada para pengedar, kata Timbalan Menteri Datuk Tan Lian Hoe.

Beliau berkata jarak jauh bagi pembekalan gula di antara negeri merupakan antara sebab kelewatan bekalan sampai kepada pengedar.

"Sebagai contoh, kami mendapati sesetengah pengedar dari kawasan utara sebuah negeri menghantar gula ke kawasan selatan dan dari selatan ke timur, dan jarak merupakan satu daripada faktor kelewatan bekalan sampai kepada pengedar berkenaan.

"Oleh itu, kementerian sedang mencari kaedah bagaimana untuk menstruktur semula rangkaian pengedaran gula di negeri tertentu supaya pengedar boleh menghantar bekalan kepada pengguna secara efektif," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat borong dekat sini Sabtu.

Tan berkata kementerian juga mengkaji untuk mengehadkan pengedaran gula kepada sesebuah negeri tanpa perlu mengedarkan komoditi itu ke negeri-negeri lain.

"Misalnya, di masa depan, pengedar di Selangor hanya perlu membekalkan gula di Selangor sahaja, tanpa perlu menghantarnya ke negeri-negeri lain," katanya dan menurutnya langkah itu juga akan dapat menjimatkan kos pengangkutan dan masa penghantaran.

Dalam perkembangan lain, Tan berkata kebanyakan farmasi dan kedai di seluruh negara mematuhi harga siling yang ditetapkan kerajaan bagi penutup mulut dan hidung, di mana orang ramai digalak menggunakannya bagi membendung penularan Influenza A (H1N1).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan yang penutup mulut dan hidung telah dijadikan barangan kawalan dan perlu dijual antara tujuh sen dan RM6 setiap satu berdasarkan kualiti produk itu.

-- BERNAMA

No comments: